Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang membuat gesaan ini berkata, perancangan itu penting untuk program transformasi yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membantu golongan bumiputera.
“Kita perlu meneroka. Menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) kita mampu membawa Bumiputera berada di paras yang sepatutnya. Kita perlu cipta kemampuan kita, jangan lagi sentiasa berharap pada orang lain,” katanya ketika berucap pada acara lawatan pertamanya ke Menara Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di sini, hari ini.
Ahmad Husni memberi contoh peranan besar yang dimainkan oleh PNS telah berjaya mewujudkan ramai usahawan bumiputera yang mempelopori banyak bidang francais di negara ini.
Kejayaan itu, katanya, merupakan lonjakan baharu kepada usahawan bumiputera khususnya kaum Melayu pada hari ini untuk terus berdaya saing dan setanding dengan kaum lain.
Menteri Kewangan II itu juga meminta usahawan Bumiputera supaya mengambil peluang untuk mengadakan lebih banyak hubungan dengan usahawan-usahawan yang berjaya dan menimba ilmu sebanyak mungkin daripada mereka.
“Harapan saya semoga kita semua sedar, kita punyai banyak peluang terbuka, tetapi kita tak menggunakannya dengan baik. Gunakan pengalaman kejayaan orang lain sebagai pendorong kepada kita,” kata Ahmad Husni.
Hadir sama pada lawatan itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin; serta Pengerusi PNS, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee bersama lebih 200 warga kerja PNS. – Bernama