17 Oct 2015

Manfaatkan Semua Aplikasi Teknologi Terkini Untuk Menang Pilihanraya – Arvind Gupta

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ketua Biro Informasi Teknologi Pusat Parti Bharatiya Janata (BJP) India, Arvind Gupta berkata, parti politik yang ingin memenangi pilihanraya di negara masing-masing perlulah memanfaatkan kelebihan rangkaian teknologi masa kini dengan sebaik-baiknya.
Menurut beliau, teknologi yang wujud hari ini merupakan satu pemudah cara atau pun platform yang dapat mendekatkan sesebuah parti politik dan kepimpinannya bersama rakyat terbanyak di negara mereka.
“Contohnya seperti aplikasi whatsapp dan facebook di mana dua aplikasi ini boleh dikatakan digunakan oleh sebahagian besar rakyat di negara ini dan juga di seluruh dunia sebagai medium untuk berhubung dan menyampaikan maklumat antara satu sama lain.
“Mana-mana parti politik ingin memenangi pilihan raya serta ingin memperlihatkan parti mereka itu releven dengan teknologi masa kini, perlulah memanfaatkan sebaik-baiknya aplikasi aplikasi teknologi yang sudah tersedia ini yang amat berkesan dalam menyampaikan sebarang informasi dengan cepat dan meluas,”tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika bercakap di forum Asean Conference On Woman In Politics anjuran Wanita Barisan Nasional (BN) yang bertempat di Dewan Merdeka PWTC di sini hari ini.
DSC_4636
Selain itu, beliau turut menggariskan lima perkara yang perlu dilaksanakan oleh parti politik dalam menjalankan kempen- kempen bagi menanamkan keyakinan rakyat terhadap parti politik mereka.
“Perkara yang pertama ialah manusia itu sendiri. Dalam politik, manusia merupakan perkara asas yang pertama untuk sesebuah parti politik mendekatkan diri dengan mereka yang bergelar pengundi mahupun ahli-ahli parti dan jentera yang merupakan nadi utama yang menjadi penggerak parti bagi melaksanakan kempen-kempen pilihanraya.
“Dalam usaha mendekati manusia-manusia ini, perkara kedua yang kita perlukan ialah platform atau pun medium yang akan kita gunakan untuk mendekati mereka dan di sinilah datangnya kepentingan aplikasi teknologi terkini seperti whatsapp facebook dan lain-lain.
“Perkara ketiga ialah data-data berhubung pengundi dan juga trend pengundian yang perlu kita kaji dan teliti. Yang keempat ialah dengan mengadakan program-program yang kreatif dan dapat menarik minat rakyat sama ada secara terus ataupun secara online,” jelasnya.
Manakala yang kelima menurut beliau inilah memikir dan melaksanakan strategi dari sudut komunikasi dan juga lain-lain seperti penjenamaan parti dan lain-lain lagi.
“Dan saya ingin menambah satu lagi perkara yang menjadi tambahan kepada lima perkara tersebut dan merupakan yang paling penting iaitu perlaksanaan. Tidak ada gunanya sebarang cadangan dan kertas kerja program yang baik dan menarik jika ianya tidak dapat dilaksanakan dengan baik.
“Perlaksanaan merupakan kunci kepada kejayaan sebuah parti politik di dalam kempen-kempen mereka. pelaksanaan ini amat penting untuk dilakukan dengan begitu teliti bagi memastikan kejayaannya.
“Ini kerana tidak ada guna bagi perancangan atau strategi yang baik tanpa wujudnya satu pelaksanaan yang berjaya untuk mencapai objektif dan matlamat sesebuah parti yang paling utama dalam kempen iaitu untuk memenangi pilihanraya di negara masing-masing,”ujarnya. -MediaUMNO

No comments: